Tuesday, January 13, 2009

bahan bacaan kanak-kanak

Kanak-kanak perlu didedahkan dengan aktiviti membaca sebelum mereka melangkah ke alam persekolahan lagi. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memperkenalkan bahan bacaan yang sesuai untuk anak-anak mereka dan secara tidak langsung menyemai minat membaca dalam diri kanak-kanak. Selain daripada itu, pengetahuan kanak-kanak mengenai perbendaharaan kata dapat ditingkatkan. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir ibu bapa yang masih kurang jelas mengenai ciri-ciri buku yang paling sesuai dengan anak mereka. Jadi, artikel ini akan menerangkan sedikit sebanyak mengenai ciri-ciri buku atau bahan bacaan yang paling ideal untuk bacaan kanak-kanak.

Ciri utama yang perlu dititikberatkan dalam pemilihan bahan bacaan kanak-kanak ialah ilustrasi. Ilustrasi dalam bahan bacaan akan sedikit sebanyak membantu kanak-kanak memahami apa yang ingin disampaikan oleh bahan bacaan tersebut.
Selain itu, ilustrasi yang berwarna-warni juga penting untuk membina minat membaca dalam diri kanak-kanak. Bahan bacaan yang berwarna-warni mampu mengekalkan tumpuan kanak-kanak dalam jangka masa yang lebih lama.

Tambahan pula, tulisan yang jelas dan bersaiz besar adalah penting dalam membantu kelancaran bacaan kanak-kanak. Kanak-kanak cenderung untuk membaca sekiranya mereka dapat membaca dengan baik tanpa sebarang masalah. Sebaliknya, minat kanak-kanak untuk membaca akan terbantut sekiranya mereka menghadapi masalah untuk membaca dengan lancan dan baik.

Selain daripada ciri-ciri bahan bacaan kanak-kanak yang terlah disebutkan di atas, terdapat banyak lagi ciri bahan bacaan yang perlu diambilkira oleh ibu bapa dalam memilih bahan bacaan yang bertepatan dengan anak-anak mereka.